SUASANA KIAMAT: SATU INSPIRASI DARI AL-QURAN SURAH AL-QIYAMAH

Dalam Al-Quran pada surah Al-Qiyamah, Allah menggambarkan kepada kita sedikit gambaran tentang saat berlakunya suatu yang PASTI, samada Kiamat Kecil (mati) mahupun Kiamat Besar.

Kiamat itu sesuatu yang pasti, Allah swt telah bersumpah demi Hari Kiamat, bahawa semua manusia akan dibangkitkan semula. Kita semua akan dihidupkan kembali setelah mati.

Ramai manusia menyangka bahawa Allah tidak mampu untuk mengumpulkan kembali tulang-tulang yang telah reput menjadi tanah semenjak zaman Nabi Adam sehingga Hari Akhirat. Sedangkan bagi Allah, perkara itu sangatlah kecil.

Sangkaan yang demikian, pasti meleset. Bukan sahaja tulang-tulang, hatta Allah mampu untuk menyamakan kembali cap ibu jari setiap seorang dari kita. Malangnya semua ini tidak memberi apa-apa erti bagi mereka yang tidak beriman.

Malahan ada diantara mereka yang mengejek-ejek dengan ejekan “bila kiamat, bila kiamat?”

Maka jawapan bagi soalan yang demikian, Hari Kiamat pasti datang, pada waktu itu, kegerunan pasti terpancar dari mata kamu, pada hari itu Bulan tidak akan lagi memantulkan cahaya, pada saat itu, Matahari dan Bulan akan menghentam sesama sendiri, bahkan seluruh planet akan berantakan.

Di ketika itu, mereka yang kufur berlari mencari tempat pelindungan, sia-sia saja.  Kemana lagi nak melarikan diri? Kini telah sampai hari dimana tiada lagi perlindungan.

Segala yang berlaku pada hari itu, pasti akan berlaku seperti mana yang Allah kehendaki.

Pada Hari itu, segala amalan kita di Dunia, akan dibentangkan kembali, yang baik dan yang buruk. Lidah yang boleh berkata-kata akan dikunci rapat, yang akan menjadi saksi kita waktu itu adalah anggota tubuh badan kita sediri. Amalan kitalah akan menjadi peguam bela kepada diri kita.

Oleh itu, dengarkan baik-baik apa yang Allah turunkan di dalam Al-Quran. Dialah Tuhan yang menjadikan Al-Quran, Dialah yang memudahkannya untuk dihafal dan dibaca. Bacalah Al-Quran secara bertajwid, sepertimana ia diturunkan oleh Jibril, dan dibacakan kepada Nabi Muhammad, dan terserah kepada Allah, segala huraian dan penjelasannya.

Walaupun begitu, masih ramai manusia yang masih alpa, sentiasa sibuk mencari kesenangan Dunia yang tidak lain melainkan hanya tipu daya. Masih ramai yang lalai, mereka lupa untuk mengumpulkan bekalan pahala untuk menuju ke suatu hari yang tiada penghujungnya, yakni Hari Akhirat.

Disana nanti, wajah orang beriman akan berseri-seri dipenuhi cahaya. Mereka sangat gembira dapat bertemu Allah, Tuhan yang menciptakan mereka.

Sedangkan pada hari itu, orang kafir akan berada dalam kesedihan, wajah mereka akan muram lagi hodoh, ini kerana mereka sudah mengetahui dengan pasti apa yang mereka bakal tempuhi. Mahu tidak mahu, mereka akan menjalani seksaan azab yang pasti pedih lagi membinasakan.

Oleh itu sedarlah, sedarlah wahai manusia. Jangan melebihkan Dunia mengatasi Akhirat. Ambillah pengajaran dari orang yang sedang berada dalam sakratul maut, bila ruh mereka sudah ditarik sampai ke kerongkong. Di saat itu, ramai yang datang berziarah akan berusaha membaca jampi dan doa, agar hari itu bukan hari terakhirnya.

Hanya mereka yang menghadapi saat kematian itu tahu, bahawa inilah waktunya, inilah saatnya, nyawa dan badan akan terpisah. Perpisahan yang selama ini hanya didengar, kini akan berlaku dalam beberapa detik sahaja lagi. Sakitnya bukan kepalang, rasa pedihnya tidak terperi. Dahsyatnya kematian itu, hanya Allah yang Maha mengetahui.

Pada Hari Kiamat kelak, hanya Allah sebagai Penghitung, hanya Allah sebagai Pengadil, hanya Allah sebagai Hakim.

Malangnya masih ramai yang mengingkari hari Pembalasan ini, masih ramai yang mendustakannya, masih ramai yang tidak menjaga solatnya. Malah masih ramai yang menolak dan tidak mahu mendengar nasihat-nasihat ugama.

Betapa sedihnya, masih ramai yang berlagak sombong, berjalan diatas bumi dengan angkuh. Mereka lupa bumi ini milik Allah.

Cuma satu peringatan untuk mereka yang kufur, kini semakin hampir hari kematian mu, sudah dekat saat kebinasaanmu, sudah dekat. Oleh itu, tiada yang lebik layak untukmu, selain api Neraka yang Allah sediakan sebagai balasan dan hukuman.

Jangan sesekali manusia menyangka mereka akan terlepas begitu sahaja, tanpa perlu bertanggungjawab diatas setiap apa yang dilakukan di Dunia. Jangan ingat boleh cuci tangan begitu saja.

Sedarlah diri sikit, jangan sesekali kita lupa yang kita ni dicipta hanya dari setitik air mani, kemudian menjadi segumpal darah, kemudian Allah jadikan kita bermula dari “tiada’ kepada “ada”.

Ada yang dilahirkan sebagai lelaki, ada yang yang dijadikan sebagai wanita. Bukankah semua ini bukti bahawa Allah mampu menghidupkan yang mati, dan mematikan yang hidup. Tanpa syak lagi, Dialah Allah yang maha Berkuasa.

………..

“Seronoknya Cinta Al-Quran”

Semoga inspirasi dari Surah Al-Qiyamah ini sedikit sebanyak menjadi peringatan untuk sesama kita.

Qadam Al-Quran

Mohd Izwan Ahmad

kalau anda nak belajar Al-Quran dari Asas, pergi ke Google Play atau App Store dan Download Aplikasi CEPAT QURAN Sekarang secara Percuma.

Jika anda rasa Inspirasi Surah Al-Qiayamah ini bermanfaat, please feel free to share

Loading

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top