Cinta Al-Quran

Belajar Mengaji Al Quran: 7 Kekangan Orang Dewasa Dan Cara Menanganyinya

Belajar Mengaji Al-Quran sudah tentu mempunyai cabaran. Apakah kekangan yang biasa dihadapi oleh orang dewasa dalam belajar mengaji Al Quran sehingga membuatkan diri rasa berputus asa untuk terus belajar?

Hakikatnya, setiap perkara yang dilakukan dalam dunia ini pastinya terdapat kekangan atau halangan yang menanti di hadapan. Namun, kita perlu lebih bijak dalam menghadapi situasi kerana tiada masalah yang tiada jalan penyelesaiannya.

Disini disenaraikan masalah-masalah yang biasa dihadapi oleh orang dewasa sewaktu ingin mula belajar mengaji Al Quran, serta cara menanganinya.

  • Malu tidak bertempat

Malu merupakan sifat yang dipuji oleh Nabi Muhammad s.a.w. Akan tetapi sifat malu tersebut perlulah diletakkan pada tempat yang sepatutnya. Untuk mempelajari ilmu agama khususnya dalam belajar mengaji Al Quran, individu hendaklah buang rasa malu supaya tidak berasa kekok atau segan untuk belajar bersama kawan-kawan yang lain.

Tidak dapat dinafikan ada individu yang datang ke kelas dengan perasaan malu yang tinggi kerana merasakan diri sudah terlalu tua, usia sudah lanjut, sedangkan pelajar lain masih lagi muda. Jika berlaku situasi sebegini, kita kena ingat bahawa semua yang datang ke kelas adalah orang yang baru nak belajar. Semuanya berada di tahap yang sama.

Jadi, faktor malu dengan usia ini bukanlah satu isu besar untuk meletakkan diri dalam perasaan malu yang berterusan. Bila kita mula itu tidak terlalu penting. Yang paling penting bagaimana dengan pengakhiran kita nanti.

  • Kurang faham dengan apa yang dipelajari

Kefahaman adalah suatu nikmat yang paling mahal dikurniakan oleh Allah kepada manusia. Kerana tidak semua orang diberikan kefahaman yang tinggi dalam setiap bidang yang dipelajari, terutamanya dalam bidang agama. Sebab itulah kita diajarkan untuk sentiasa berdoa,

“اللَّهُمَّ فَقِّهْنّا فِي الدِّينِ وَعَلِّمنَا التَّأْوِيلَ”

“Ya Allah, berikanlah kami kefahaman dalam ilmu agama, dan ajarkan kami tentang ilmu ta’wil”

Doa merupakan tawakkal kita dengan Allah. Tapi sebelum bertawakkal, hendaklah berusaha terlebih dahulu. Pernah tak kita fikir apakah usaha kita untuk faham apa yang dipelajari?

Ramai yang takut atau segan untuk bertanya bila tidak faham apa yang dipelajari. Sepatutnya, pelajar perlu ada interaksi dengan guru di dalam kelas. Selain dapat meraih kefahaman, dapat juga mencipta hubungan baik antara pelajar dengan guru itu sendiri.

  • Tak sabar untuk cepat baca Al Quran

Untuk mendapatkan sesuatu yang berharga, perlukan pengorbanan. Tidak kiralah pengorbanan tersebut dalam bentuk harta atau masa. Samalah juga dalam situasi belajar mengaji Al Quran, ia memerlukan sedikit masa untuk betul-betul mahir dan mantap dalam bacaan.

Tidak ada manusia yang dilahirkan terus boleh berjalan dan berlari-lari, bahkan ia perlukan masa untuk melalui setiap tahap perkembangan tersebut. Kita perlu tanamkan sifat sabar di dalam diri.

Bukankan sabar itu separuh daripada iman? Indahnya sabar apabila kita telah mencapai natijah setelah menahan sabar.

  • Tak istiqamah datang kelas

Istiqamah adalah benda yang paling susah untuk diamalkan. Cakap memang senang, tapi nak buat memang susah.

Apabila terdetik di hati ingin berbuat kebaikan, hendaklah datangkan niat yang ikhlas kerana Allah. Dahulukan pandangan Allah terhadap diri kita berbanding pandangan manusia, kerana dibimbangi amalan baik kita tersebut disulami dengan perasaan riya’ dan ‘ujub.

Perlu diingat, syaitan akan sentiasa menghalang manusia untuk berbuat kebaikan. Jadi, keikhlasan yang tinggi itulah akan memadamkan segala halangan tersebut. Jika kita lemah, maka kita akan terus dihalangi rintangan angkara syaitan.

  • Kelas mengaji jauh & tidak sesuai dengan waktu kerja

Zaman sekarang adalah zaman teknologi, seolah-olah dunia di hujung jari. Segala kemudahan terpampang di telefon pintar, computer riba, atau seumpamanya.

Dengan kemudahan yang tersedia ada ini, kita boleh cari tempat mengaji yang paling hampir dengan tempat kediaman atau tempat kerja. Tambahan lagi, sejak akhir-akhir ini tempat belajar mengaji Al Quran semakin banyak, bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Yang paling penting, buang sikap malas yang sering menghantui diri.

Tidak dapat dinafikan terdapat juga antara kita yang bekerja tidak mengikut waktu kerja. Jadi, masa untuk datang ke kelas agak terhad. Sekali lagi diingatkan bahawa kita berada di zaman teknologi. Sememangnya telah wujud sesi pembelajaran di atas talian, untuk memudahkan orang-orang yang bekerja di luar waktu kerja.

  • Hanya tahu nak khatam walaupun tak tahu hukum tajwid

Adakah kita masih berbangga dengan kekerapan khatamkan Al Quran, sedangkan bacaan tunggang-langgang, dan hukum tajwid langsung tidak tahu?

Kita semua perlu sedar bahawa hukum membaca Al Quran adalah Fardhu Kifayah. Sedangkan membaca Al Quran dengan bertajwid hukumnya Fardhu Ain. Kesimpulannya, nak baca Al Quran mestilah bertajwid.

Hal ini bukan bermakna kita tidak pentingkan kekerapan khatamkan Al-Quran. Akan tetapi perlulah diiringi dengan bacaan yang sempurna dan tahu segala hukum-hukum tajwid.

  • Rasa tidak penting untuk belajar Al Quran

Kebiaasaannya perasaan sebegini dicampakkan oleh syaitan kepada orang-orang yang memang tiada asas dalam bacaan Al Quran. Tapi tidak kurang juga kepada orang yang dah tahu asas bacaan.

Baiklah, apakah tujuan sebenar Al Quran diturunkan?

Sudah pasti ia sebagai pedoman bagi umat Islam sejagat. Kalau Al Quran pun tak baca, macam mana nak amalkan apa yang terkandung di dalam Al Quran?

Kalau sebut pasal pahala, memang terlalu banyak hadis-hadis yang menceritakan tentang kelebihan kepada pembaca Al Quran. Sehinggakan terdapat mafhum hadis yang menyebut tentang setiap huruf yang dibaca diberikan ganjaran 10 pahala.

Semoga perkongsian ini bermenfaat. Jadi saranan saya, jangan cari alasan untuk tidak belajar, tetapi carilah jalan untuk belajar mengaji Al-Quran.

Khusyuk dalam Solat: 6 Tips dari Imam Ghazali

TIPS KHUSYUK DALAM SOLAT

Imam Al-Ghazali telah menggariskan 6 cara untuk kita dapat merasai khusyuk dalam solat. Antaranya:

1. HUDHUR AL-QALB (HADIRKAN HATI)

? Hendaklah berusaha membuang semua perkara duniawi yang tidak berkaitan dengan solat dan tidak ada hubungan dengan Allah.

2. TAFAHHUM (MEMAHAMI)
? Memahami segala makna yang dilafazkan dalam solat seperti makna bacaan surah Al-Fatihah, bacaan ketika rukuk, dan lain-lain.

3. AT-TA’DZIM (MENGAGUNGKAN ALLAH)
? Berasa diri kita sangat kerdil dan hina di depan Allah yang Maha Agung.

4. AL-HAIBAH (MERASA GERUN TERHADAP ALLAH)
? Hadirkan rasa takut dan gerun kita kepada Allah.

5. AR-RAJAA’ (BERHARAP KEPADA ALLAH)
? Sentiasa menaruh harapan agar amalan solat kita akan diterima oleh Allah.

6. AL-HAYA’ (MALU)
? Hadirkan rasa malu kepada Allah atas kekurangan dan kelemahan diri kita.

Semoga dengan mengamalkan tips diatas kita semua akan mendapat khusyuk dalam Solat.

Belajar Mengaji: Cabaran dan Tuntutan Hidup

Mungkin ramai yang nak sangat belajar mengaji Al-Quran, tetapi ada beberapa masalah dan kekangan urusan yang membuatkan hasrat itu tergendala. Disini saya senaraikan antara beberapa cabaran dan tuntutan hidup yang perlu kita uruskan dengan baik agar akhirnya dapat membaca Al-Quran dengan baik.

  • Anda selalu keliru dengan huruf Hijaiyyah, tambahan pula kalau huruf tu bersambung-sambung. Jangan bimbang, tiada istilah “sudah terlewat” untuk mengambil langkah permulaan. Fikir positif “kalau orang lain boleh, kenapa tidak kita”.

 

  • Bacaan Mad dalam Al-Quran selalu salah, ada yang pendek dibaca panjang, dan ada yang panjang dibaca pendek. Kesalahan seperti ini dikenali sebagai “Kesalahan Tersembunyi”, ini adalah masalah yang sangat mudah diatasi jika anda kenali tanda-tanda yang terdapat didalam Al-Quran. Disana ada tip-tip yang mudah diingat hanya dengan melihat “tanda”, tanpa perlu mengingati nama-nama hukum Mad yang banyak dan agak mengelirukan.

 

  • Seronok dengar dan tengok orang lain baca Al-Quran dengan lancar, tapi anda baca tersangkut-sangkut dan tidak lancar. Tapi sampai bila?

 

  • Cepat sangat lupa apa yang dipelajari, khususnya ilmu Tajwid. Bagusnya kalau ada Kelas Quran  yang dapat ulang-ulang dan jadikan sebagai tempat rujukan bila perlu.

 

  • Tak tahu macam mana nak baca ‘waqf’ cara nak berhenti, khususnya sewaktu membaca ayat panjang dan nafas habis. Jangan bimbang, semua orang hadapi masalah ini sewaktu membaca ayat yang panjang. Isunya bukan dimana nak berhenti, tapi bagaimana nak berhenti.

 

  • Boleh membaca Al-Quran, tapi Hukum Tajwid tak tahu, akhirnya baca Al-Quran dalam keadaan tidak yakin dan was-was. Ini sudah lari dari tujuan asal membaca Al-Quran. Niat nak dapatkan pahala, alih-alih dapat dosa kerana salah dalam bacaan dan tidak diperbetulkan.

 

  • Nak sangat hadiahkan pahala membaca Al-Quran kepada ibu/ayah, tapi hanya mampu mengalirkan airmata. Memang menjadi cita-cita dan harapan kita semua untuk menjadi anak yang soleh, jadi menghadiahkan pahala bacaan Al-Quran adalah salah satu “hadiah” yang istimewa dapat kita sumbangkan kepada ibu/ayah tercinta.

 

  • Siang hari sibuk bekerja, malam pulak badan dah letih, hujung minggu pula nak luangkan masa dengan keluarga.  Akhirnya tiada masa untuk menghadiri kelas Al-Quran di pusat-pusat pengajian Al-Quran.

 

  • Jadual kerja yang tidak menentu dan sentiasa bertukar, ini menyukarkan anda untuk memberi komitmen menghadiri kelas dan belajar mengaji Al-Quran yang jadual pengajian telah ditetapkan oleh pusat pengajian.  

 

  • Menghadapi kesukaran mencari pusat pengajian Al-Quran yang berdekatan.  

 

  • Mempunyai perasaan MALU yang tinggi berhadapan guru atau kawan-kawan untuk mula belajar balik dari Asas di pusat-pusat pengajian yang sedia ada. Akhirnya level bacaan Al-Quran masih di tahap yang sama.  

 

  • Mempunyai masalah kos dan pengangkutan dari rumah/tempat kerja ke pusat pengajian Al-Quran. Jadikanlah kemana sahaja anda pergi, disitulah “pusat pengajian” anda.
 Kedatangan kita di dunia ini hanya sekali, rebutlah dan ambillah peluang yang hanya sekali ini untuk mahir dalam membaca Al-Quran, agar pulang bertemu Allah di akhirat nanti dengan jawapan bahawa di dunia dahulu kita telah berusaha untuk belajar mengaji Al-Quran.

Mengaji Al-Quran: 15 Kelebihan kepada pembacanya

Terdapat 15 kebaikan-kebaikan mengaji Al-Quran di dalam hadis-hadis sahih :

Pertama : Al-Quran akan menjadi syafaat dihari akhirat.

Daripada Abu Umamah r.a berkata : Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda:

“Bacalah Al-Quran sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya”. (Hadis Riwayat Muslim)

Kedua : Al-Quran sebagai pembela (mempertahankan) orang yang membacanya dihari akhirat.

Daripada Nawwas Bin Sam’an r.a. telah berkata : Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda : “Di hari akhirat kelak akan didatangkan al-Quran dan orang yang membaca dan mengamalkan isi kandungannya, didahului dengan Surah Al Baqarah dan Surah Ali-Imraan, kedua-dua surah ini menghujah ( mempertahankan ) orang yang membaca dan mengamalkannya”. (Hadis Riwayat Muslim)

Ketiga : Sebaik-baik amalan adalah orang yang belajar dan mengajarkan Al-Quran.

Daripada Osman Bin ‘Affan r.a. telah berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda : “Sebaik manusia di antara kamu orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarnya kepada orang lain”.(Hadis Riwayat Bukhari)

Keempat : Membaca Al-Quran dan susah menyebutnya mendapat dua pahala.

Daripada Aisyah r.a. telah berkata: Bersabda Rasulullah S.A.W. : “Orang yang membaca Al-Quran dan susah untuk menyebut ayatnya ia mendapat dua pahala”.

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kelima : Mukmin yang membaca Al-Quran umpama buah yang harum dan sedap rasanya.

Daripada Abu Musa Al Asy’ari r.a. telah berkata : Rasulullah S.A.W. bersabda : “Umpama orang mukmin yang membaca Al-Quran seperti buah Utrujjah ( seperti limau besar ) baunya wangi dan rasanya sedap. Umpama orang mukmin yang tidak membaca al-Quran seperti buah tamar tidak ada bau dan rasanya manis, dan umpama orang munafik yang membaca Al-Quran seperti Raihanah (sejenis pokok) baunya wangi dan rasanya pahit dan umpama orang munafik yang tidak membaca al-Quran seperti buah labu yang tiada bau dan rasanya pahit”.

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Keenam : Allah SWT mengangkat martabat golongan yang mengaji Al-Quran.

Daripada Omar Bin Al Khattab r.a. Bahawa Nabi Muhammad S.A.W. bersabda: “Sesungguhnya Allah mengangkat martabat beberapa golongan dan merendahkan martabat yang lain dengan sebab Al-Quran”.(Hadis Riwayat Muslim)

Ketujuh : Kefahaman yang sahih tentang Al-Quran akan menjadi contoh ikutan.

Daripada Ibnu Omar r.a. daripada Nabi Muhammad S.A.W. telah bersabda:

“Tidak boleh berhasad dengki kecuali di dalam dua perkara : Lelaki yang dianugerahkan kefahaman yang sahih tentang Al-Quran, ia menunaikan ibadat siang dan malam , lelaki yang dianugerahkan kemewahan harta lalu dinafkahkannya siang dan malam”.

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kelapan : Membaca Al-Quran akan mendapat ketenangan (sakinah)

Daripada Barra’ dan daripada ‘Azib r.a. telah berkata : “Seorang lelaki membaca Surah Al Kahfi dan di sisinya seekor kuda yang diikat dengan dua tali, maka awan di langit mula melindunginya dan semakin hampir, dan kudanya mula menjauhinya. Apabila menjelang pagi beliau pergi berjumpa Nabi Muhammad S.A.W. dan menceritakan peristiwa tersebut maka baginda bersabda : Itulah ( sakinah ) ketenangan yang turun disebabkan bacaan al-Quran”.(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kesembilan : Sesiapa yang tidak mengingati ayat-ayat Al-Quran umpama rumah yang roboh.

Daripada Ibnu ‘Abbas r.a. beliau berkata : Rasulullah S.A.W. bersabda : “Sesungguhnya orang yang tidak ada di dalam ingatannya sesuatu pun daripada ayat al-Quran seperti rumah yang roboh”. (Hadis Riwayat Tarmizi dan beliau berkata: Hadis ini hasan sahih)

Kesepuluh : Membaca dan memperelokkan bacaan Al-Quran akan mendapat kebaikannya.

Daripada Abdullah Bin ‘Umru Bin Al ‘As r.a. Nabi Muhammad S.A.W. bersabda :

“Satu masa nanti akan dikatakan kepada orang yang membaca Al-Quran: Bacalah, perbaikkilah dan perelokkanlah bacaan Al-Quran sepertimana engkau memperelokkan urusan di dunia, sesungguhnya tempat engkau akan ditentukan di akhir ayat yang engkau bacakan”. ( Hadis Riwayat Abu Daud dan Tarmizi dan beliau berkata : Hadis ini hasan sahih )

Kesebelas : Membaca beberapa ayat Al-Quran lebih baik daripada mendapat unta yang gemuk.

Daripada ‘Uqbah Bin ‘Amir r.a. menceritakan : Rasulullah S.A.W keluar dan kami berada di tempat duduk masjid yang beratap. Maka beliau bersabda: “Siapakah di antara kamu yang suka keluar di pagi hari pada setiap hari menuju ke Buthan atau ‘Atiq, dan dia mengambil darinya dua ekor unta yang gemuk dalam keadaan dia tidak melakukan dosa dan tidak putus hubungan silaturrahim”. Kami menjawab : “Kami suka demikian itu. Sabda Rasulullah S.A.W : “Kenapakah kamu tidak pergi ke masjid belajar atau membaca dua ayat Al-Quran lebih baik dari dua ekor unta, tiga ayat lebih baik dari tiga ekor, empat ayat lebih baik dari empat ekor unta demikianlah seterusnya mengikut bilangan ayatnya”. (Hadis Riwayat Muslim)

Kedua belas : Sesiapa yang lebih fasih memebaca Al-Quran lebih layak menjadi imam solat berjemaah.

Daripada Ibnu Mas’ud r.a bahawa Nabi Muhammad S.A.W bersabda : Orang yang paling layak mengimami kaum di dalam sembahyang ialah mereka yang terfasih membaca Al-Quran”. (Hadis Riwayat Muslim )

Ketiga belas : Nabi SAW mengutamakan sahabat yang paling kuat berpegang teguh kepada Al-Quran untuk dikebumikan jenazah mereka.

Daripada Jabir Bin Abdullah r.a. bahawa Nabi Muhammad S.A.W. menghimpun antara dua lelaki yang terbunuh di peperangan Uhud kemudian baginda bersabda : “Yang mana satukah antara keduanya yang paling kuat berpegang teguh dengan al-Quran maka apabila aku tunjukkan kepada salah seorang daripada keduanya maka dialah orang yang pertama masuk ke liang lahad”. (Hadis Riwayat Bukhari, Tarmizi, Nasa’ie dan Ibnu Majah)

Keempat belas : Kelebihan berdoa selepas membaca Al-Quran.

Daripada ‘Imran Bin Husain Bahawa beliau lalu di hadapan qari yang sepang mengaji Al-Quran kemudian dia berdoa kepada Allah kemudian ia kembali membaca kemudian ia berkata aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda : “Barangsiapa yang membaca al-Quran maka berdoalah kepada Allah dengan al-Quran maka sesungguhnya akan datang beberapa kaum yang membaca al-Quran dan mereka berdoa dengannya”.

(Hadis Riwayat Tarmizi, beliau berkata : Hadis ini hasan)

Kelima belas : Setiap satu huruf membaca Al-Quran akan mendapat sepuluh ganjaran pahala.

Daripada Ibnu Mas’ud r.a. ia berkata : “Barangsiapa yang membaca satu huruf daripada al- Quran maka baginya satu kebaikan, satu kebaikan menyamai dengan sepuluh pahala, aku tidak bermaksud : Alif , Lam , Mim ialah satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf”.(Hadis Riwayat Ad Darimi Tarmizi, beliau berkata hadis ini hasan sahih)

Sahabat yang dimuliakan,

Marilah kita menjadikan Al-Quran sebagai peduman hidup kita , apabila kita sentiasa menjadikannya sebagai panduan dan peraturan hidup kita tidak akan sesat dan sentiasa mendapat pimpinan daripada Allah S.W.T. Al-Quran juga merupakan senjata yang paling berkesan untuk membersihkan jiwa dan menyinarkannya.

Dalam sebuah hadis Rasulullah S.A.W.bersabda : Daripada Ibnu Umar r.a berkata:

“Rasulullah S.A.W. telah bersabda maksudnya : “Hati manusia akan berkarat seperti besi yang dikaratkan oleh air”. Apakah cara untuk menjadikan hati bersinar semula. Kata baginda lagi, ” Dengan banyak mengingati mati dan mengaji al-Quran.”

Nota Ringkasan Asas Tajwid

NOTA RINGKASAN ASAS TAJWID-21

Klik link diatas untuk dapat Nota Ringkasan Asas Tajwid secara Percuma

Jika anda rasakan perkongsian ini bermenfaat, sila tekan button “share” dibawah , dan semoga ianya menjadi saham akhirat kita.

Selamat belajar

 

Al-Quran: Sejarah Ringkas pengumpulan dan penyusunan

Al-Quran adalah kitab suci yang terakhir dari Allah SWT yang diturunkan kepada Nabi Muhammad (SAW). Petunjuk untuk semua manusia. Tanggungjawab menjaga kesehihan Kitab suci ini diambil oleh Allah SWT dengan sendirinya. Al-Quran juga merupakan sumber inspirasi, bimbingan, dan kebijaksanaan untuk berjuta-juta umat Islam di seluruh dunia. Kita semua harus tahu sejarah wahyu dan kompilasi Al-Quran supaya kita dapat memahami betapa pentingnya Kitab suci. Al-Quran adalah titik iman utama, dan terpenting kepada asas-asas masyarakat Islam dan menjadi dasar hukum syariah, arahan undang-undang Islam. Kita boleh mengatakan bahawa Al-Quran adalah mukjizat yang hidup. Ia telah diturunkan kepada Baginda Nabi Muhammad (SAW) dalam tempoh 23 tahun. Ia diturunkan secara berperingkat dan tidak seperti yang kita lihat hari ini. Dalam artikel ini, kita akan membincangkan aspek Al-Quran dengan menerangkan wahyu dan langkah-langkah diambil untuk memeliharanya atau menyusun Al-Quran dalam sejarah Islam.

Kedudukan Al-Quran

Sebelum memulakan perbincangan mengenai wahyu dan pemeliharaan Al-Quran adalah penting bahawa kita semua harus memahami kebaikan atau martabat Al-Quran dan apa yang dikatakan Allah SWT tentang pemeliharaan dan sifat Ilahi dalam Al-Quran. Dalam Al-Quran, Allah SWT berfirman: “Dan Kami turunkan kepadamu Kitab yang menerangkan segala sesuatu, petunjuk, rahmat dan berita gembira kepada umat Islam.” (Quran, 16:89) Quran adalah kitab petunjuk, rahmat dan berita gembira. Selain daripada itu kita sebagai seorang Muslim sepatutnya percaya Al Quran adalah Kitab yang bebas daripada keraguan. Keaslian Al-Quran dari segi pemeliharaannya, Allah Azza wa Jalla berfirman dalam Al-Quran: “Kami telah tanpa ragu-ragu, mengutus mesej itu; dan sesungguhnya Kami akan menolongnya. “(Quran, 15: 9)

Proses penurunanan Al-Quran bermula pada bulan Ramadan seperti dinyatakan Allah SWT dalam Al-Quran: “Ramadhan adalah bulan (bulan) di mana kami menurunkan Al-Quran.” (Quran, 2: 185) Al-Quran tidak diturunkan dalam satu keadaan tetapi melalui proses yang beransur-ansur dengan sejumlah kecil ayat yang diturunkan pada satu-satu masa. Allah SWT juga menerangkan sebab di sebalik wahyu Al-Quran dalam tempoh 23 tahun. Menjadikannya mudah untuk menyebarkan maklumat kepada pengikut Islam. Jadi mesej Allah (SWT) secara perlahan diturunkan secara berperingkat juga mewujudkan hubungan yang berterusan antara Allah SWT dan Nabi yang tercinta (SAW) yang memberikan sokongan moral pada masa-masa yang diperlukan: “Demikianlah, supaya Kami menguatkan hatimu” (Al-Furqan, 25: 106). Oleh itu, kita dapat menyimpulkan dari ini kita mempunyai penyelesaian setiap masalah yang kita hadapi dalam kehidupan kita di dalam Kitab Suci Al-Quran.

Penyusunan Al-Quran

Pada mulanya, Quran diingat dalam bentuk hafazan. Tetapi kemudian proses kompilasi Al-Quran mula memeliharanya dalam bentuk penulisan. Apabila ia datang kepada kompilasi Al-Quran, ia telah dibahagikan kepada bahagian-bahagian dan masa tertentu dalam sejarah di mana para pemimpin Islam yang berlainan pada masa yang berlainan membuat sumbangan yang berlainan untuk menjadikan kompilasi Al-Quran lebih baik. Kita akan membincangkan pelbagai peringkat penyusunan Al-Quran sepanjang sejarah Islam yang membolehkan kita melihat dan membaca Quran dalam bentuknya sekarang.

Tahap Pertama pada masa Nabi Muhammad (SAW): Pertama kali proses kompilasi Al-Quran dimulakan dalam kehidupan Nabi Muhammad (SAW). Di peringkat ini, susunan dan perintah Surah dan ayat telah ditentukan oleh Nabi (SAW) dan teks itu ditulis. Walau bagaimanapun, pada tahap ini, Al-Quran tidak dikumpulkan ke dalam satu buku sahaja, secara relatifnya terdapat dalam kulit binatang, kain, kertas dan pelbagai lagi tempat yang berasingan.

Tahap Kedua semasa Pemerintahan Saidina Abu Bakar (R.A). Dalam pertempuran Yamama sebilangan besar sahabat, yang telah menghafal al-Quran telah mati syahid. Banyak sahabat Nabi (SAW) takut akan pemeliharaan Al-Quran. Oleh itu, Saidina Umar (R.A) mencadangkan kepada Khalifah bahawa Al Quran harus dikumpulkan dan disusun menjadi satu buku untuk memastikan pemeliharaannya. Saidina Abu Bakar (RA) menyukai idea itu tetapi takut kerana Nabi (SAW) sendiri tidak pernah mengambil langkah ini dan beliau takut bahawa tindakan ini mungkin dianggap sebagai percanggahan dari ajaran Nabi(SAW), bagaimanapun, dia mengubah pandangan dan memerintahkan Zaid bin Saabit (RA) untuk menjadi penulis dan penyusun Al-Quran dalam bentuk buku. Kesemua anggota suruhanjaya itu terkenal dengan hafaan mereka. Selepas mendengar pelbagai para huffaz, dan merujuknya dengan ayat-ayat al-Quran yang ditulis di tempat yang berlainan dia menyusun satu salinan akhir Quran yang kemudiannya dibentangkan kepada Saidina Abu Bakar (R.A). Sebaik sahaja keseluruhan teks dikumpulkan, suruhanjaya itu dengan teliti membuktikannya dan mengesahkan bahawa ia betul dan hadir secara keseluruhannya. Jadi, versi Kitab Al-Quran yang pertama disusun dalam kehidupan Saidina Abu Bakar (R.A) khalifah pertama Islam.

Tahap Ketiga semasa Pemerintahan Saidina Uthman (R.A): Pada zaman Khalifah ketiga, Uthman (R.A) masalah serius yang berkaitan dengan pembacaan al-Quran yang dibangkitkan. Walaupun teks Al-Quran diterima secara universal, orang Arab dari pelbagai bahagian negara Islam membacanya mengikut dialek mereka. Ini membentangkan dua masalah: pertama sekali semua orang menganggap dialek mereka betul yang menimbulkan pertikaian; dan kedua, ia dikhuatiri bahawa jika ini berlaku, tidak akan ada versi al-Quran yang diterima secara universal. Demi mengatasi masalah ini Saidina Uthman (R.A) meminta Hafsa (R.A) untuk menyediakan kompilasi al-Quran yang lebih awal supaya lebih banyak salinan dapat dibuat daripada itu. Lebih-lebih lagi, Beliau juga menubuhkan satu jawatankuasa yang terdiri daripada Zain bin Haris (R.A) dan beberapa Sahabat yang lain untuk memastikan mereka bersetuju dengan sebutan salinan asal dan menghasilkan lebih banyak versi salinan itu dengan cara yang sama. Suruhanjaya menyediakan teks dan kemudian beberapa salinan telah dibuat dan dihantar ke bahagian yang berlainan di negara Islam dengan arahan bahawa hanya ini yang dianggap sebagai teks rasmi dan sahih Quran. Sejak hari itu Al-Quran kekal dalam bentuk utuhnya yang asli dan akan tetap seperti di masa depan oleh rahmat dan berkat dari Allah SWT. Walaupun Allah SWT sendiri mengambil tanggungjawab untuk memelihara Al-Quran, namun, Dia telah melakukan kerja yang dilakukan oleh manusia di mana para penguasa yang berlainan pada waktu yang berlainan berusaha untuk memastikan Quran dipelihara dan dalam bentuk yang universal tanpa penyimpangan dari segi kandungan asal yang kita ada sekarang.

Secara kesimpulannya dapat kita katakan bahawa Al-Quran melalui 3 fasa pengumpulan, iaitu di zaman Baginda Nabi Muhammad (SAW), di zaman khalifah Abu Bakar (RA) dan di zaman khalifah Uthman (RA). Ia merupakan satu mukjizat yang akan sentiasa hidup, menjadi panduan hidup seluruh manusia yang inginkan kejayaan di dunia dan akhirat. Sumbangan para sahabat baginda nabi (SAW) dalam penyusunan dan pengumpulan Al-Quran sangatlah besar, dan semoga Allh menjadikan kita semua menjadi pencinta Al-Quran.

Seronok Belajar Mengaji Al-Quran: 7 Rahsia Penting Akhirnya Terbongkar

Anda ingin dapatkan rasa Seronok Belajar Mengaji Al-Quran?

Menjadi seorang yang bukan berbangsa Arab, memang menjadi cabaran nak belajar Tajwid, apatah lagi nak timbulkan rasa Seronoknya Cinta Al-Quran. Tapi jangan rasa pelik, orang Arab sendiri pun ramai yang tak mahir Tajwid Al-Quran ni, so jangan bimbang, anda tidak keseorangan.

Disini saya kongsikan 7 rahsia penting nak seronok belajar Mengaji Al-Quran

1. Perbaharui Niat

Nak sebut huruf Arab dengan Makraj tepat ni memang mencabar, kadang-kadang rasa lemah semangat nak belajar datang setelah bersusah payah mencuba, tapi tetap gagal. 

Diwaktu begini, ingatkan kembali apa tujuan asal kita belajar. Kalau niat asalnya kerana mencari REDHA ALLAH, tidak pantas untuk kita rasa lemah & berputus asa dari mendapatkan redho Allah. Memang tak berbaloi.

2. Jangan takut buat silap

Ramai yang menyangka ‘haram’ baca Quran kalau salah Tajwid, sebenarnya ia hanya akan menjadi haram kalau kita tahu bacaan kita salah, Tapi tak ada usaha nak betulkan & tak pergi belajar. Jadi selagi kita dalam proses belajar nak baiki bacaan maka hukumnya tidak lah ‘haram’. 

Jangan takut nak belajar mengaji Al-Quran walaupun belum mahir, jawapanya senang saja, Kalau tak cuba langsung , macam mana nak pandai.

3. Latihan berterusan 

Teruskan membuat latihan sebutan Makraj & sifat huruf. Jangan hadkan atau tentukan masa atau tempat tertentu kalau nak buat latihan, teruskan saja. 

Sambil masak, mengemas, lipat baju, waktu rehat di tempat kerja atau memandu pun boleh. 

Tengok budak baru nak belajar cakap, dia main sebut je, tanpa pedulikan apa orang cakap, dia dalam dunianya sendiri, lama-lama betul & pandai lah.

4. Dengar & Ulang 

Dengarlah sebanyak mungkin bacaan Al-Quran. Zaman sekarang ni semua mudah, boleh dapatkan dari YouTube atau mana-mana sumber. 

Untuk yang baru nak mula, carilah Qari-qari yang bacaannya perlahan & jelas supaya mudah ikut. Nak best lagi sambil buka Mushaf Al-Quran.

5. Satu hukum Tajwid pada satu masa 

Setiap kali belajar sesuatu hukum tajwid, pastikan buat latihan & ulang kaji hukum tersebut. 

Ini lebih baik dari belajar banyak jenis hukum pada satu masa, last2 satu pun tak ingat. Yang lebih teruk ia dibimbangi akan buat anda rasa ‘down’ & nak ‘give up’.

6. Gunakan dalam percakapan harian 

Sebagai contoh bila dah belajar sebutan sebenar huruf A’in, gunakan sebutan sebenar bila sebut perkataan seperti Assalamua’laikum atau A’bdullah. 

Dan bila dan belajar huruf Ha (ada orang kata ha pedas), gunakan sebutan yang sebenar bila sebut Muhammad atau Alhamdulillah.

7. Kesabaran 

Rahsia terakhir ni sangat penting. Nak dapatkan sesuatu kenalah sabar sikit. Seperti kata pepatah 

“yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang”. 

Jadi bersabarlah & teruskan usaha.

Diharap perkongsian ini bermenafaat buat semua. 

Semoga dengan mengamalkan rahsia diatas anda dapat menikmati seronoknya belajar Mengaji Al-Quran.

Hukum Wanita Belajar Al-Quran Sewaktu Haid: Haram atau Harus?

Adakah Wanita dibenarkan belajar Al-Quran sewaktu didatangi haid?

Dalam masalah ini, terdapat dua pandangan.

Pertama :HARAM, jumhur Fuqaha’. Mereka melarang wanita membaca al-Qur’an ketika dalam keadaan haid dan sedang berjunub berdasarkan kepada hadis daripada Ibn Umar RA

“Tidak dibolehkan wanita dalam haid dan yang berjunub membaca walau sedikit daripada al-Qur’an.”
Riwayat al-Tirmizi

Hadith ini dhaif di sisi sebahagian ahli ilmu kerana sebahagian riwayatnya Ismail bin Ayyash dari golongan Hijjaz dan riwayatnya daripada mereka adalah dhaif.

Kedua : HARUS. Inilah pendapat ulama’ Malikiyyah mengikut riwayat yang sahih iaitu dibolehkan untuk memegang al-Qur’an bagi wanita yang haid dan dibolehkan juga untuk membacanya dengan tujuan mengajar dan belajar Al-Quran.

Kelonggaran ini hanya diberikan kepada wanita yang dalam keadaan haid sahaja dan bukannya yang sedang berjunub. Ini kerana, hari-hari kedatangan haid itu berlangsung dalam tempoh yang lama. Maka, jika mereka dilarang membaca al-Qur’an, dibimbangi hafazan/pelajaran al-Qur’an mereka akan terluput. Sedangkan, berzikir kepada Allah SWT adalah dibolehkan kepada wanita-wanita yang sedang dalam haid.

Ianya juga memberi kemudahan kepada pusat pengajian untuk meneruskan pengajarannya sehingga tidak melupai hafazan/pelajaran disebabkan terhenti bacaan kerana haid.

Inilah juga pendapat tokoh ulama’ silam seperti Imam al-Bukhari, Imam Ibn Jarir al-Tabari, Ibn al-Munzir, al-Zahiryyah, al-Syaukani, al-San’ani, al-Sya’bi, pendapat Imam al-Syafi’i dalam qaul qadim yang telah dinukilkan oleh Abu Thaur.

Kesimpulannya ialah DIBOLEHKAN berdasarkan sebab-sebab yang telah diterangkan untuk belajar al-Qur’an dan menghafaznya ketika dalam haid.

Scroll To Top